Saturday, July 31, 2010

Berjumpa Bapak

Petang tadi ke Shah Alam ke rumah abang Zam untuk berjumpa bapak dan emak. Setibanya kira-kira jam 7.00 malam, emak dan bapak masih berada di pusat haemodialisis kerana hari ini adalah rutin untuk bapak "cuci darah". Jam 8,00 malam baru emak dan bapak balik. Bapak sedikit lemah tapi dah mula dapat 'membiasakan' diri dengan rutin barunya itu. Alhamdulillah.
Merenung wajah bapak, walaupun tidak seceria dulu namun masih kelihatan raut wajah yang berkeyakinan dan penuh ketabahan. Emak pula masih kaya senyuman namun jauh di sudut hati, Allah sahaja yang mengetahui.
Tiba waktu makan, kami menikmati juadah yang disediakan oleh kak Zah. Bapak berselera meratah pecal. Dalam pada itu sempat juga menjamah dua ulas durian dan merasa secubit tapai ubi. Terbayang suasana di kampung ketika duduk makan bersama. Bapak selalunya gemar makan apa saja yang dihidang emak bahkan seleranya bertambah lebih-lebih lagi apabila anak, menantu beserta putu-putu berebut suap. Apapun lega rasanya apabila selera bapak kian pulih. Semoga emosinya juga beransur sejahtera dalam menghadapi rutin hidup yang tidak pernah terfikirkan akan dilalui di saat-saat sebegini. Sesungguhnya takdir Allah maha suci dan murni dan ia menuntut ketahanan dan kesabaran. InsyaAllah, bapak dan emak memiliki keduanya.

No comments:

Post a Comment