Sunday, May 23, 2010

ZIARAH KE MAKKAH AL MUKARRAMAH







Berkumpul di rumah abang Mie di Taman Baiduri, Cheras pada malam Ahad. Ramai yang hadir kecuali abang Zam lantaran tuntutan tugas. Tujuannya untuk persiapan sebelum emak dan bapak berangkat menunaikan umrah ke Makkah.

Solat maghrib berjemaah diikuti bacaan Yassin dan tahlil arwah. Meski agak ceria namun diulit rasa terharu kerana akan berpisah dengan emak, bapak serta abang Kamal dan kak Yong. Tapi tak perlu diikutkan sangat kerana mereka pergi sebagai tetamu Allah. InsyaAllah akan terpelihara.

Awal pagi kira-kira jam 10.00 kami berkonvoi ke KLIA. Flight emak dan bapak jam 3.00 petang. Di airport masing-masing menyimpan rasa terharu, baik emak, bapak dan anak-anak serta cucu-cucu yang hadir. Biasalah, nak berpisah beribu batu. Selalunya jarak memisahkan hanya antara Kuala Lumpur atau Melaka dengan Bagan Datoh. Tetapi kali ini terlalu jauh. Semasa taklimat kepada jemaah, tertinjau-tinjau juga jika ada kalibat ustaz Dato Daud Che Ngah(sahabat lama ketika di Radio 1 dahulu), kerana emak dan bapak mengikuti pakej Andalusia milik ustaz Daud. Namun hanya kakitangan beliau sahaja yang ada pagi sesi taklimat itu. Jika ustaz Daud ada dan turut sama pada pakej kali ini boleh juga membisikkan pada beliau agar dapat 'menengok'nengokkan' emak dan bapak.

Jam dua emak, bapak, abang Kamal dan kak Yong mula check in. Sekali lagi detik penuh syahdu menyelubungi suasana. Sebak di dada ketika berpelukan dengan emak dan bapak. Emak dan bapak berpesan agar mendoakan mereka. Begitu juga sebaliknya semoga mereka mendoakan kami sekeluarga.

Sejenak terimbau kenangan ketika menghantar arwah abah ke Makkah untuk menunaikan haji pada tahun 1997. Menitis air mata terkenangkan saat syahdu melihat wajah abah buat kali terakhir. Ditambah pula kesyahduan ketika membalas lambaian emak, bapak, abang Kamal dan Kak Yong. Labbaikaillah humma labbai......

Jauh di sudut hati mendoakan agar mereka terpilih sebagai tetamu paling istimewa Allah SWT sepanjang berada di Makkah dan Madinah.



No comments:

Post a Comment